UTAMA | PROFAIL | PERKHIDMATAN | GALERI | PAKEJ | PROMOSI | TESTIMONI | SOALAN LAZIM
BERITA | ARTIKEL | KERJAYA | HUBUNGI KAMI
 
 

BERITA
Berita, Rencana, Advertorial dan Lain Lain Publisiti

BERITA 3

Foto Kahwin Kini Ke Arah Kewartawanan Foto
KOSMO!, 11 April 2006




Foto Kahwin Kini Ke Arah Kewartawanan Foto

Oleh Haslinda Zainal

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Kaedah kewartawanan foto bagi menghasilkan gambar-gambar yang digunakan oleh media untuk siaran akhbar, majalah ataupun dokumentari, kini menjadi trend pilihan untuk merakamkan gambar-gambar majlis perkahwinan.

Malah ada sesetengah bakal pengantin sanggup mengeluarkan belanja sehingga RM30,000 semata-mata untuk memastikan rakaman gambar perkahwinan mereka mempunyai kelainan dan keistimewaan.

Pengurus Operasi Adan Impresif, Hasnuddin Abu Samah berkata rakaman gambar secara kewartawanan foto dapat melahirkan suasana sebenarnya yang berlaku dalam sesuatu majlis atau peristiwa itu.

"Gambar mampu menceritakan tentang kejadian yang berlaku. Kewartawanan foto menceritakan lebih banyak benda dalam sesuatu gambar," katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Hasnuddin, 31, graduan Diploma Fotografi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata dalam kewartawanan foto, jurufoto perlu peka sepanjang majlis perkahwinan supaya dapat merakam setiap aksi di luar kesedaran pengantin itu sendiri.

"Tidak boleh ada kawalan dalam gambar daripada segi komunikasi seperti mengarahkan pengantin untuk melakukan pelbagai gaya atau memandang kamera sambil tersenyum lebar kerana keaslian gaya kewartawanan foto itu akan hilang," katanya yang mempunyai pengalaman lebih 10 tahun dalam fotografi perkahwinan.

Gambar yang menunjukkan pelbagai emosi seperti air mata pengantin yang jatuh sebaik mendengar lafaz nikah atau ketawa bersama rakan-rakan serta reaksi pengantin lelaki yang gementar menunggu saat bersalam dengan jurunikah merupakan contoh gambar yang menerapkan elemen kewartawanan foto, kata Hasnuddin.

Beliau berkata walaupun gaya sebegini sudah lama popular di luar negara, ia hanya mula popular di negara ini sejak 2004.

Menurut beliau kebanyakan pelanggan yang memilih trend baru itu adalah daripada golongan atasan dan berada kerana perkhidmatan yang ditawarkan agak mahal berbanding gaya tradisional.

"Mereka yang berpendapatan dan berpendidikan tinggi lebih suka elemen ini dalam gambar perkahwinan mereka kerana merasakan berbaloi mengeluarkan duit yang banyak untuk menghayati setiap rakaman gambar pada majlis yang mungkin tidak boleh berulang kembali," katanya.

Beliau juga berkata permintaan yang tinggi serta pasaran fotografi perkahwinan yang semakin berkembang turut mendorong jurugambar bebas yang selama ini menggunakan gaya tradisional beralih kepada gaya kewartawanan foto.

Beliau meramalkan jurufoto terbabit akan menjadi lebih kreatif dengan mencipta pelbagai teknik dan gaya baru untuk mewujudkan identiti sendiri untuk bersaing dengan jurugambar baru, bebas dan profesional yang semakin ramai.

Bagi Saiful Nang, 27, pengasas Saiful Nang Photography berpendapat seseorang jurugambar itu perlu kreatif dalam menghasilkan gambar dari sudut-sudut menarik, di samping menambah sedikit elemen seni halus dan penggunaan cahaya sedia ada serta komposisi yang mampu memberikan satu siri cerita dalam sesuatu peristiwa.

Saiful yang menceburi bidang fotografi perkahwinan sejak 2004, telah menggunakan Internet untuk memperkenalkan teknik rakaman foto perkahwinannya.

"Saya bermula dengan mendaftar dalam laman web Fotopages.com untuk berkongsi gambar-gambar perkahwinan yang saya ambil yang mungkin agak berlainan daripada gaya tradisional dan ia mampu memberi impak besar kepada saya sendiri dan orang ramai khususnya bakal pengantin," kata lulusan Sarjana Muda Sains (Kepujian) (Media) Filem dan Animasi dari Universiti Multimedia (MMU) itu.

Menerusi laman web itu, perkhidmatannya telah mendapat tempahan bakal pengantin di luar negara seperti Perancis, Singapura, Thailand dan Ireland. Malah beliau kini meninjau peluang untuk membuka cawangan di Brunei, dan telahpun meluaskan perniagaannya ke London dengan menggunakan nama Bean & Nang.

Cara Saiful yang suka memaparkan banyak gambar dengan menjadikannya sebagai satu siri yang menceritakan sesuatu majlis perkahwinan itu sering ditiru oleh jurugambar lain dan ini telah membuatnya bertindak mendaftarkan jenama produknya, iaitu Candidsyndrome, bagi memastikan keaslian dan ketulenan produknya.

"Memang tidak dinafikan hasil kerja saya kena `cetak rompak', tetapi setiap jurugambar ada sentuhannya yang tersendiri dan saya yakin bakal pengantin akan bijak memilih," katanya.


BERITA 1
Perkhidmatan Lengkap Fotografi dan Videografi Perkahwinan dari Adan.
Majalah Pesona Pengantin, 1 Mei 2006


BERITA 2

Capturing The Moment In Photojournalism
The Sun Newspaper, 17 April 2006


BERITA 3

Foto Kahwin Kini Ke Arah Kewartawanan Foto
KOSMO!, 11 April 2006

 


 
 
UTAMA | PROFAIL | PERKHIDMATAN | GALERI | PAKEJ | PROMOSI | TESTIMONI | SOALAN LAZIM
BERITA | ARTIKEL | KERJAYA | HUBUNGI KAMI
 
 
Hakcipta Terpelihara Adan Impresif 2006